Tips Lafaz Akad Nikah Dengan Lancar

Detik bahagia semakin hampir! Debaran semakin dirasai, jantung dupdap laju mengenangkan hari pernikahan yang bakal tiba itu nanti. Sang lelaki terfikir-fikir macam mana gambaran kejadian untuk lafaz akad nikah itu nanti? Sang perempuan berdebar-debar juga menanti adakah sang lelaki berjaya lafazkan akad nikah itu di depan walinya itu nanti? Untuk menjadikan lafaz akad nikah diungkapkan dengan lancar itu, disini ada beberapa tips untuk membuatkan lafaz akad nikah dengan lancar.

1. Siapkan Checklist Nikah

Tips pertama, pihak pengantin lelaki seharusnya buat persediaan awal seperti buat checklist apa yang perlu ada semasa akad nikah itu nanti. Namun begitu, jangan lupa untuk praktis sebutan lafaz ijab Kabul itu nanti seperti nama bakal isteri dan walinya itu. Setiap hari perlu praktis bercakap depan cermin supaya dapat melihat penampilan anda sendiri dengan yakin!

2. Dapatkan Tidur Yang Secukupnya

Seterusnya, anda perlu tidur awal dan rehat secukupnya. Ini kerana, tidur yang cukup akan membangkitkan mood dalam keadaan yang baik. Pastikan rehat secukupnya supaya kesihatan berada dalam keadaan yang baik. Emosi perlu dijaga, apabila emosi dalam keadaan tenang dan baik, ia akan membuatkan diri anda dalam keadaan bertenaga untuk melafazkan akad nikah itu nanti! Apabila anda kurang tidur dan rehat, keberangkalian akan mengakibatkan anda lemah dan tidak bermaya semasa majlis pernikahan itu nanti.

3. Jangan Risau & Berfikiran Positif

Namun begitu, jangan lupa untuk sentiasa berfikiran positif! Set dalam minda bahawa anda yakin dapat melafazkan ucapan akad nikah itu tanpa gagap, perkara normal lah sifat gemuruh atau berdebar itu memang akan ada bagi setiap pengantin lelaki, tapi anda seharusnya kawal rasa gemuruh itu supaya dapat lafaz dengan nada sebutan yang jelas. Paling penting sekali, anda perlu tenangkan diri dan buang rasa negatif jauh-jauh dalam diri.

IKLAN

4. Doa, Solat Hajat & Solat Istikharah

Jangan lupa untuk sentiasa berdoa pada Allah SWT pemilik alam semesta ini. Ini kerana, jodoh juga adalah ketentuan dariNYA. Kita sebagai manusia, hanya perlu usaha dan berdoa padaNYA.
Sebaiknya, sebelum majlis pernikahan ini berlaku, perbanyakkan solat hajat dan solat istkhirah. Mohon doa pada Tuhan supaya DIA permudahkan urusan pernikahan itu nanti. Sesungguhnya Allah sebaik-baik penolong dan sebaik perancang.

5. Datang Awal Ke Majlis Akad Nikah

Semasa majlis pernikahan itu nanti, sebaiknya datang lebih awal supaya anda tidak kelam kabut. Ini kerana jika anda datang lewat, ia akan mengakibatkan anda menjadi stress dan boleh menyebabkan hilang fokus serta takut akan terlupa apa yang hendak dilafazkan nanti. Keadaan yang kelam kabut juga akan menyebabkan jiwa anda kucar kacir dan paling bahaya apabila anda gugup semasa bercakap di depan tok kadi nanti.

6. Selesakan Diri

Tambahan lagi, pastikan anda duduk dalam keadaan posisi yang selesa. Duduk dengan keadaan yang bersedia, tenangkan fikiran dan yakinkan dalam hati bahawa “Aku boleh!”. Semasa tok kadi sudah sampai, dan anda ingin melafazkan akad nikah itu nanti, jaga pernafasan dengan baik! Tarik nafas perlahan-lahan dan lepaskan dengan baik. Jangan terlalu gementar apabila melihat ramai orang memandang anda, Jika anda takut, sebaiknya anda cuma fokus melihat tok kadi, wali dan orang tertentu sahaja dan lafazkan dengan nada tenang!

7. Senyum

Dan akhir sekali, berilah senyuman yang manis dan ikhlas terhadap semua orang, kerana senyuman itu pasti membuatkan anda cool, tenang dan bersemangat untuk melafazkan akad nikah di hari bahagia anda itu nanti! Diharap tips lafaz akad nikah ini akan membantu bakal suami untuk membuat persediaan dengan lebih baik dan awal. Persediaan yang awal membuatkan anda lebih yakin untuk membuat lafaz akad nikah nanti.

Pihak lelaki tidak perlu takut untuk hadapi lafaz akad nikah ini, cuma tenangkan diri dan bersedia juga untuk membaca ilmu tentang perkahwinan, yelah mana tahu sebelum lafaz akad dijalankan, tok kadi akan tanya soalan-soalan nikah pula. Yakin pada diri dan doa pada Allah SWT supaya majlis berjalan lancar dan dipermudahkan urusan pernikahan anda bersama bakal isteri anda itu. InshaaALLAH, niat yang baik dan ikhlas, Allah akan tolong dan permudahkan urusan anda!

Diucapkan tahniah kepada bakal mempelai, Selamat mendirikan bahtera rumah tangga yang bahagia bersama cinta hati! Semoga urusan anda dipermudahkan Tuhan dan diberi kebahagian till jannah! Amin Ya Rabbal Alamin.

GAMBAR HIASAN TANGKAP PICTURES
KREDIT : PENGANTIN BARU