Sumber: Google

Sebentar tadi baru sahaja berlangsung sidang media di mana Perdana Menteri telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang ternyata memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Terdapat sesetengah golongan yang risau kerana pendapatan harian terjejas, hilang pekerjaan dan gaji dipotong kerana wabak Covid-19. Namun kini anda boleh menarik nafas lega kerana kerajaan tidak pernah melupakan anda.

Pengumuman yang dibuat sebentar tadi ternyata memberi jaminan untuk rakyat meneruskan kehidupan seperti biasa. Tiada satu pun yang tertinggal.

Antara bantuan yang diterima adalah:

  • RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei 2020.

  • RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada bulan April 2020 sebanyak RM500 dan baki RM500 pada bulan Mei.

  • Penangguhan pembayaran premium atau sumbangan ditawarkan oleh syarikat insurans & takaful keluarga yang terjejas untuk 3 bulan.

IKLAN
  • Pengecualian pembayaran sewa bagi PPR dan Perumahan Awam selama 6 bulan.

  • Bagi industri telekomunikasi dan multimedia, beberapa pakej khas akan ditawarkan dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi. Antara pakej khas yang akan ditawarkan ialah internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan tamat. Selain itu, tambahan RM400 juta akan dilaburkan untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan.

  • Tanggungan kos ujian sehingga RM300 bagi pemegang polisi dan sijil takaful perubatan.

  • RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada bulan April 2020 dan baki RM300 pada bulan Mei 2020.

  • Sebelum ini, Kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan bayaran balik PTPTN kepada semua peminjam selama 6 bulan melibatkan kutipan sebanyak RM750 juta. Kini, Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh yang sama kepada peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK mulai 1 April 2020 hingga 30 September 2020, dengan anggaran kutipan sebanyak RM149.2 juta. Inisiatif ini akan memanfaatkan seramai 174,500 orang peminjam.

  • Tidak lupa kepada para pelajar institusi pengajian tinggi. Anda juga akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang yang akan dibayar pada bulan Mei 2020. Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM270 juta kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS.

Daripada semua bantuan kerajaan ini, saya nak beri satu contoh mudah supaya saudara-saudari senang kira. Contohnya, Makcik Kiah penjual goreng pisang yang duduk di PPR Desa Tun Razak, yang suaminya adalah pesara kerajaan dan sekarang ini bawa Grab. Anak Makcik Kiah adalah peminjam PTPTN. Pendapatan isirumah Makcik Kiah di bawah RM4000 sebulan. Dengar baik-baik. Saya nak bantu buat pengiraan berapa keluarga Makcik Kiah akan dapat.

Keluarga Makcik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1600, baki BSH sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500 dan bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500. Kalau suami Makcik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM 200 sebulan sehingga wabak berakhir. Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Makcik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM3400.

Selain itu, keluarga Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa PPR selama 6 bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama 6 bulan sebanyak RM1800, penjimatan bayaran bil elektrik selama 6 bulan sebanyak RM120.

Anak Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik PTPTN selama 6 bulan sebanyak RM1200. Kalau Makcik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan goreng pisang dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatan sebanyak RM600.

Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464. Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM7,864. Jadi Makcik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat