Kawal berat badan

BERAT badan berlebihan, kegemukan atau obesiti bukan saja mendedahkan seseorang kepada risiko penyakit tetapi menurunkan tahap kesuburan dalam kalangan wanita.
Kira-kira 40 peratus wanita mengalami kesukaran hamil disebabkan obesiti.

Sebaiknya sebelum berkahwin, pastikan BMI mereka tidak melebihi 30 bagi memudahkan proses kehamilan dan melahirkan bayi apabila mendirikan rumah tangga kelak.

Obesiti memberikan kesan ke atas kesuburan akibat ketidakseimbangan hormon dan masalah ovulasi terutama dalam kalangan wanita obesiti yang menginginkan anak pertama.

Masalah itu berkait rapat dengan sindrom ovari poli-sistik (PCOS) iaitu punca menyebabkan ketidaksuburan dalam kalangan satu daripada lima wanita pada usia reproduktif.

Kebanyakan pusat reproduktif enggan merawat wanita bermasalah obesiti kerana kadar kejayaan untuk hamil amat rendah dan merugikan kos perubatan.

Dalam satu lagi pendedahan, hasil Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) meletakkan Putrajaya sebagai bandar yang mempunyai peratusan tertinggi kes obesiti dan melaporkan bahawa dua bagi setiap lima penjawat awam di Malaysia mungkin mengalami obesiti.

Kadar obesiti dan berat badan berlebihan menyebabkan Malay-sia menanggung kos RM4.26 bilion dan RM8.53 bilion pada beberapa tahun lalu, bagi menangani implikasi disebabkan obesiti.

Implikasi obesiti terhadap lelaki dan wanita adalah penyakit alaf baharu yang mengundang isu kesihatan serius.


.

Terdedah pelbagai komplikasi

Bukan sahaja pelbagai komplikasi perubatan termasuk diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung koronari, kolesterol tinggi, masalah tulang, masalah pernafasan ketika tidur dan kanser, malah obesiti turut mempunyai kesan negatif terhadap kualiti hidup, kecergasan fizikal, harga diri, seksualiti, kesejahteraan emosi dan sosial serta sering dipandang remeh dan masalah ketidaksuburan.

IKLAN

American Society for Reproduction (ASRM) melaporkan bahawa lelaki obes lebih cenderung mengalami kecelaruan hormon testosteron. Lemak yang berlebihan menjadi sumber kepada penukaran androgen kepada estrogen, menyebabkan tahap testosterone menjadi rendah, kualiti sperma merosot dan seterusnya mengurangkan kesuburan berbanding lelaki dengan berat badan normal.

Kajian menunjukkan lelaki berlebihan berat badan mempunyai paras testosteron 24 peratus lebih rendah berbanding lelaki biasa, manakala lelaki obes mempunyai tahap 26 peratus lebih rendah testosteron.

Kemungkinan ketidaksuburan lelaki meningkat sebanyak 10 peratus untuk setiap sembilan kilogram peningkatan berat badan berlebihan seorang lelaki.

Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) juga melaporkan obesiti mengurangkan kualiti air mani yang berkaitan dengan penurunan kadar spermatogenesis, pembentukan sperma dan morfologi sperma. Obesiti juga dikaitkan dengan masalah ereksi dan kurang aktif dalam melakukan hubungan intim bersama pasangan.

Implikasi obesiti terhadap kesuburan wanita turut mempengaruhi hasil kejayaan pasangan yang melalui rawatan bayi tabung uji atau IVF. ASRM melaporkan bahawa obesiti dikaitkan dengan penghasilan ovum yang tidak matang, kualiti ovum merudum dan kekurangan respons ovari kepada ubatan IVF.

Perlu peka terhadap BMI

Wanita perlu peka terhadap Indeks Jisim Tubuh (BMI) mereka kerana BMI yang melebihi 30kg/m2 akan mengurangkan 50 peratus peluang untuk hamil bagi wanita yang menjalani IVF.

IKLAN

Berdasarkan fakta ini, kebanyakan pusat IVF sama ada kerajaan atau swasta meletakkan BMI di bawah paras 30kg/m2 sebagai syarat utama untuk pasangan mengikuti rawatan itu.

Wanita juga harus peka bahawa bagi setiap unit kenaikan BMI melebihi 29kg/m2, kadar kebarangkalian untuk hamil menurun sebanyak empat peratus. Bagaimanapun, pengurangan berat badan secara berperingkat sebanyak 5 hingga 10 peratus akan memulihkan kitaran haid wanita dan meningkat peluang ovulasi secara semula jadi sebanyak 50 peratus.

Segelintir individu yang dikategorikan sebagai obes tahap tiga mungkin boleh dirawat dengan menjalani pembedahan bariatrik. Namun, tiada jalan pintas bagi mendapatkan berat badan yang sihat selain daripada amalan pemakanan sihat dan modifikasi cara hidup ke arah lebih aktif.


.

Mulakan langkah pertama dengan mengubah persepsi minda anda. “Saya ingin dan akan berusaha untuk mendapatkan BMI yang ideal bagi saya”.

Bukan untuk kelihatan cantik dan gagah semata-mata, tetapi untuk kesihatan fizikal, mental dan keharmonian rumah tangga.

Adaptasi Pinggan Sihat Malaysia – ‘suku suku separuh’ dalam kehidupan seharian anda; suku untuk sumber karbohidrat dan bijirin, suku untuk protein dan separuh untuk buah-buahan dan sayuran.

IKLAN

Pastikan juga hidangan anda adalah rendah lemak, gula dan garam sejajar dengan Panduan Diet Malaysia 2010.

Sekiranya tuntutan pekerjaan menghalang anda untuk bersenam, amalkan 10,000 langkah sehari untuk hidup yang lebih aktif. Gunakan sepenuhnya kecanggihan teknologi masa kini dengan memuat turun aplikasi pedometer dan MyNutriDiari untuk memantau aktiviti dan diet anda.

Info

Bagaimana mengukur BMI:

Berat di dalam kilogram dibahagikan dengan tinggi dalam meter (m2)
Berat yang sihat untuk orang dewasa:
antara 18.5 dan 24.9 kg/m2.
BMI antara 25-29.9 kg/m2 dikategorikan sebagai terlebih berat
BMI 30 kg dikategorikan sebagai obesiti.
Faktor obes:

Tabiat pemakanan kurang sihat
-Gaya hidup tidak aktif
Kesan obesiti ke atas kesuburan:

Mengambil masa untuk hamil berbanding wanita dengan berat normal.
Cenderung mengalami kemandulan.
Obesiti dan kehamilan:

Keguguran
Mengalami tekanan darah tinggi dan diabetes.
Melahirkan bayi pramatang.
Perlu menjalani kaedah kelahiran seperti pembedahan
Berisiko mengalami darah beku ketika hamil dan boleh membawa maut.
Kesan ibu obes ke atas bayi:

Kecacatan bayi
Bayi meninggal ketika dilahirkan.
Berat bayi melebihi 4.5 kilogram ketika dilahirkan.
Meningkatkan risiko membesar sebagai kanak-kanak dan dewasa yang gemuk dengan risiko menghidap pelbagai penyakit.
Kaedah menguruskan badan:

Bersenam
Makan secara seimbang dan sihat
Motivasi dan sokongan keluarga serta suami
Elakkan makan ubat kurus kerana risiko kesan sampingan ke atas hati.
Dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang ubat kurus.