Ada orang kata, bercinta selepas kahwin lebih baik.
Ya, mungkin benar kerana bercinta sebelum berkahwin ini cabarannya amat besar, jika tidak boleh kawal diri boleh terbawa-bawa ke kancah maksiat.
Namun bukanlah cinta selepas kahwin itu bermakna kita tidak perlu mengenali bakal pasangan kita dengan lebih mendalam dan hanya mahu mengenalinya setelah berumahtangga, hatta jika bakal pasangan kita itu dicari oleh ibu bapa kita pun.

Zaman sekarang ini dalam mencari pasangan hidup, adalah penting untuk kita mengenali dan mengetahui latar belakang bakal pasangan kita. Jika tidak mahu bercinta berjiwang karat sekalipun pun, sekurang-kurangnya berkawan dulu dengan dia dan dalam tempoh itu pastikan yang kita betul-betul mengenali dia, tahu sejarah hidup dia, tahu siapa keluarganya, tahu siapa kawan-kawannya, tahu minatnya, tahu cara pemikirannya, tahu mentalitinya, tahu ideologinya dan sebagainya. Selepas kita rasa kita boleh terima segala apa tentang dirinya, barulah pertimbangkan untuk menjadikannya sebagai teman hidup. Yelah, nak cari orang yang akan hidup dengan kita, duduk serumah sebilik sekatil dengan kita kalau boleh sampai akhir hayat bukan macam pilih ikan kat pasar. Takkan kita nak pilih je siapa-siapa lebih-lebih lagi orang yang kita kurang kenal untuk dijadikan pasangan hidup.

IKLAN

Kalau nak cari pasangan hidup, kena cari orang yang sekufu dengan kita, yang sepadan, yang setaraf, yang ada perkaitan dengan hidup kita, yang cara hidup dan corak pemikiran sama dengan kita dan sebagainya. Ya, orang tersebut mesti sekurang-kurang ada dalam lingkaran atau circles yang sama dengan kita. Sama ada dia duduk taman yang sama, satu sekolah dengan kita, belajar dalam kelas atau kursus yang sama di universiti, sertai kelab atau persatuan yang sama, satu tempat kerja, satu kelab peminat hobi, kena ada sebarang perkaitan agar kita kenal dan tahu perangai dan perwatakan dia.

Bukanlah nak kata kalau cari orang yang sekufu, yang mempunyai lingkaran yang sama akan kekal bahagia hingga akhir hayat, mungkin ada juga yang jodohnya pendek, namun sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan risiko untuk berkahwin dengan orang yang tidak sesuai dengan jiwa kita sehingga akhirnya berakhir dengan pergaduhan, persengketaan, permusuhan dan penceraian.

Sebab tu biasa kita tengok seorang ustaz berkahwin dengan wanita yang bertutup litup, atlet sukan berkahwin dengan atlet, artis berkahwin dengan artis, doktor berkahwin dengan doktor, cikgu berkahwin dengan cikgu, kakitangan kerajaan berkahwin dengan kakitangan kerajaan, pekerja kilang berkahwin dengan pekerja kilang, penulis buku berkahwin dengan orang dalam bidang penerbitan, orang yang bekerja dalam industri seni kreatif berkahwin dengan orang yang dalam industri yang sama, orang yang berfikiran liberal berkahwin dengan orang yang sama pemikiran, penyokong parti politik berkahwin dengan ahli parti politik yang sama, berkahwin sesama rakan sekolah, rakan sepejabat dan sebagainya.

Ramai orang mencari jodoh di dalam lingkaran mereka sendiri sebab orang yang berada dalam lingkaran mereka biasanya sudah kenal antara satu sama lain, lebih memahami kerjaya, minat dan cara hidup mereka serta mempunyai lebih banyak persamaan berbanding perbezaan. Mereka lebih faham antara satu sama lain kerana gelombang pemikirannya sama.

Agak sukar nak bayang jika seorang artis berkahwin dengan seorang cikgu, atau kakitangan kerajaan berkahwin dengan pekerja kilang, atau ustaz berkahwin dengan ahli sukan, orang bandar yang sangat urban kahwin dengan orang kampung yang sangat konservatif, orang nerd berkahwin dengan kaki clubbing, pejuang feminisme berkahwin dengan orang yang pandang rendah wanita, penyokong tegar UMNO berkahwin dengan penyokong kuat PKR, orang anti-vaksin dan percaya bumi datar berkahwin dengan orang yang berpegang kuat pada sains dan lain-lain. Ya, mungkin ada cuma aku pasti tak ramai, sebab lingkarannya amat berbeza antara satu sama lain. Mungkin mereka berkahwin pun sebab masih ada perkaitan seperti sama sekolah, sama universiti dan sebagainya.

Maka kalau anda rasa suka kat mana-mana awek kat FB, atau lelaki yang baru anda kenal kat Starbucks, atau orang yang anda jumpa di laman cari jodoh, jangan baru kenal seminggu dua dah putuskan untuk berkahwin kononnya mahu bercinta selepas berkahwin. Ambil masa untuk kenal dulu orang tu, selidik latar belakang, tahu siapa keluarga, kawan-kawannya, dia sekolah kat mana, apa tahap pendidikannya, apa pekerjaannya, apa minat dia, apa hobi dia dan sebagainya, kemudian nilai semula adakah kita boleh menerimanya untuk dijadikan teman hidup.

Jangan sampai lepas dah berkahwin, baru tahu rupa-rupanya suami anda gay, atau kuat merokok, atau panas baran, atau isteri anda pemalas, atau kuat bersosial, atau masih isteri orang lain dan lain-lain perangai yang anda tak suka dan tak boleh terima, lepas tu baru menyesal tak sudah. Kalau lepas kahwin baru ingat nak mengubah pasangan ikut acuan kita, jangan terlalu berharap orang itu akan berubah. Jangan kahwin sebab nak berubah, sebaliknya berubah dulu baru berkahwin.