Perkahwinan dalam Islam adalah satu perkongsian untuk memperoleh Sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang) dan warrahmah (ada belas ihsan). Oleh itu, persefahaman amat penting kepada pasangan suami isteri terutama kepada mereka yang berkerjaya dalam masa sama terikat dengan tanggungjawab di rumah.

Dalam arus moden masa kini, isteri berkerjaya bukan lagi menjadi satu yang asing malah golongan wanita mempunyai kelayakan tinggi seterusnya membolehkan mereka memegang jawatan dalam organisasi. Justeru, kesibukan tugas harian di pejabat dan di rumah menjadi berganda buat isteri.

Pada zaman dahulu, isteri tidak bekerja dan mereka hanya melaksanakan tanggungjawab memasak, mengemas, menyediakan keperluan suami dan anak-anak. Bagaimanapun, tuntutan semasa pada masa kini menyebabkan si isteri bekerja bagi membantu suami.

Dalam situasi tersebut, pasangan suami isteri perlu bijak berkomunikasi supaya tugas di pejabat tidak memberi tekanan seterusnya dapat menjalankan tugas di rumah dengan lancar. Isteri perlu bijak meminta pertolongan daripada suami supaya membantu melakukan kerja rumah yang sesuai dan diminati suami. Jika isteri memasak, suami boleh membantu menjemur pakaian atau menukar lampin anak dan begitulah sebaliknya.

IKLAN

Itulah konsep ihsan yang kita perlu faham. Kehidupan suami isteri adalah indah dan penuh dengan keberkatan jika kita bijak dan rasional menangani setiap situasi. Suami perlu memahami keadaan isteri yang berkerjaya dalam masa sama perlu menguruskan anak-anak dan rumah tangga. Suami perlu faham, isteri bekerja kerana mahu membantu ringankan beban, oleh itu, suami harus ringan tulang bantu apa yang patut. Lihat ruang untuk bantu isteri dan bukannya menyerahkan semua kerja di bahu isteri sahaja.

Ikuti perkongsian Abu Hurairah Asifa ini tentang betapa pentingnya seorang suami itu menghargai penat lelah seorang wanita yang bergelar isteri.


Dalam rumahtangga, yang paling risau tentang semua sewa, bil api air, yuran tuisyen, barang dapur, barang mandi pasti semuanya isteri!
Dia takkan tenang dengan melihat telur yang tinggal 2 biji, sardin tinggal 1 tin kecil, beras segenggam tabah, ayam tinggal hati dan kaki.
Jadi, kalau isteri tak tenang dan selalu membebel tentang hal ni, tenang bro!
Tenang ok?
Jangan tendang kerusi lepas tu blah lepak mamak. Jangan marah anak-anak yang tak tahu apa-apa. Jangan juga sepak kaki kawan masa lawan futsal waktu maghrib.
Dalam ujian yang berat dan semakin menaik ini, suami dan isteri perlu selalu bertenang. Kalau sorang hangin, sorang lagi kena dingin. Seorang panas, seorang lagi kena mengawal supaya tak rimas.
Pelan-pelan pegang tangan isteri, ajak dia duduk. Buatkan air pearl cafe, kalau tak ada, pergi beli kat kedai runcit RM1.30 sepeket. Kita minum air kosong dah la kalau bajet tak ada.
Jangan cerita duit dulu. Jangan cerita hal bil-bil. Jangan cerita pampers susu.
Cerita Allah, cerita syukur. Cerita kita ni bahagia masih bersama. Cerita walau pun perit dan sakit, kita ada rumah. Ada kereta. Ada motor. Ada basikal. Anak-anak sihat. Kita pun sihat. Cuit sikit peha isteri, awak pun cantik je selalu. Lawak la skit. Jangan macam ceramah sangat.
Isteri akan diam. Dia diammmmmm je. Tak apa, masa tu ajak isteri naik atas rehat. Baringkan dia. Tenangkan dia.
Ajarkan isteri doa ini. Dan kita doakan bersama. Pegang dada isteri;
"Jadikan hati kami seperti hati wali-wali Allah, yang tak pernah takut dan bimbang dengan hal-hal dunia".
Lepas isteri tidur, giliran kita bro. Ni part kita.
Bercakaplah dengan Allah. Cakap kita ni suami, kena kuat. Goyang juga tengok Maybank2U ada sepuluh ringgit berbaki. Ngeri rasa.
Luahkan semua pada Allah. Susun strategi. Esok apa kerja boleh buat. Atau esok niat nak buat baik banyak-banyak. Kalau manusia terhibur dengan kita, Allah akan hiburkan kita pula.
Kesusahan itu perlu. Untuk kita dapat rasa hamba. Untuk kita merendah diri.
Biar kita begini hidupnya, tapi kita bahagia bro.
Selalu ajak isteri ingatlah Allah.
Selalu ajak anak isteri solat awal, buat baik banyak-banyak, utamakan keluarga dalam segala hal, kurangkan bergaduh dan bertekak, saling berlapang dada,
Selamat berjuang Bro!
Jadi suami, baru tahu kenapa Tuhan cipta kita jadi lelaki.

Penulis asal: Abu Hurairah Asifa

GAMBAR HIASAN : Tangkap Pictures