Setiap pasangan yang dah berkahwin pasti menginginkan zuriat sebagai pengikat kasih sayang antara suami dan isteri. Sama ada cepat atau lambat, ia bergantung kepada rezeki yang Allah berikan. Kita hanya boleh merancang dan berusaha, selebihnya hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Jika anda sedang merancang untuk mempunyai zuriat, jangan lupa ambil asid folik. Ia penting untuk mencegah kecacatan janin dan boleh membawa maut iaitu Neutral Tube Defect (NTD). Anda digalakkan mengambil asid folik sebelum hamil lagi untuk mengelakkan masalah ini daripada berlaku.

Pengambilan asid folik ini ditekankan oleh Doktor Imelda Balchin di laman Facebooknya. Menurutnya, masih ramai lagi wanita di Malaysia tidak mengetahui kepentingan pengambilan suplemen folik asid sebelum hamil dan diteruskan pengambilannya semasa tiga bulan pertama kehamilan.

***********************************************************************

Masih ramai lagi wanita Malaysia yang tak tahu apakah kepentingannya mengambil suplemen folic acid sebelum hamil dan diteruskan pengambilannya semasa tiga bulan pertama kehamilan.

Tujuan suplemen folic acid ialah bukan untuk kesuburan, dan bukan untuk mencegah keguguran.

IKLAN

Suplemen folic acid itu penting walaupun untuk wanita yang tiada masalah kesuburan.

Tujuan utama folic acid suplemen ialah untuk mencegah kecacatan janin yang teruk dan boleh membawa maut, iaitu Neural Tube Defect (NTD).

Salah satu contoh NTD ialah tempurung kepala yang tidak terbentuk, iaitu Anencephaly. Bila tiada tempurung kepala, tidak ada perlindungan kepada otak yang bertisu lembut. Akibatnya otak yang terdedah kepada air ketuban akan dihakis atau dikikis di dalam kandungan ibu, sehingga ia hancur dan hilang, dan kemudiannya bayi ini akan dilahirkan tanpa otak.

IKLAN

Kita boleh mengesan dan mengesahkan kecacatan anencephaly ini melalui imbasan ultrasound scan dari 11 minggu kehamilan, seperti di dalam gambar.

Janin yang tiada otak boleh hidup di dalam kandungan ibu sehingga dilahirkan sebab tidak perlu bernafas sendiri. Ia mendapat oxygen terus dari uri ke dalam darahnya. Ia tak payah makan sebab boleh mendapat semua nutrisi dari uri terus ke dalam darahnya. Tetapi setelah dilahirkan, ia perlukan fungsi otak untuk bernafas dan perlukan fungsi otak untuk menghisap dan menelan susu. Tanpa fungsi otak, sejurus selepas bersalin, bayi ini akan meninggal dunia.

Begitulah kepentingannya suplemen folic acid, terutama sekali untuk wanita yang ada Diabetes atau wanita yang obese, sebab risiko NTD adalah lebih tinggi untuk wanita yang ada Diabetes yang tidak dikawal sebelum hamil atau wanita obese yang hamil. Satu lagi cara untuk mencegah kecacatan NTD ialah mengawal Diabetes dan kurangkan berat badan yang obese sebelum hamil.

IKLAN

Semoga semua ibu-ibu kita mendapat zuriat yang sihat dan bersalin dengan selamat.

Nota tambahan:
Jangan tunggu dah hamil dan jangan tunggu buka buku pink di Klinik Kesihatan baru nak dapatkan suplemen folic acid. Anda boleh beli sendiri di mana-mana farmasi, murah saja, tak payah pun beli jenama yang mahal, sebab memang pun folic acid suplemen tu murah saja. Saya tak promote mana-mana jenama tertentu sebab itu tidak penting.

Untuk wanita yang ada diabetes, obesiti, atau pernah mendapat anak dengan kecacatan NTD, dos folic acid yang disarankan ialah 5mg sehari.

Untuk wanita yang tiada Diabetes, tiada obesiti atau tidak pernah mendapat anak dengan kecacatan NTD, dos 400 microgram atau 0.4mg sehari sudah pun mencukupi. Kalau tak boleh cari dos rendah 0.4mg, beli dos 0.8mg atau 1mg atau 5mg pun tak mengapa.

Sumber: Facebook Imelda Balchin